Saturday, October 17, 2009

Pemimpin untuk memimpin


Ada empat peranan penting seorang pemimpin:


  • Pertama, menjadi contoh, figur (uswah, qudwah).
  • Kedua, pemimpin menjadi sahabat atau teman. Maka, mereka bukan sekadar disebut teman, tetapi khadim al-ummah. Sebaik-baik pemimpin adalah yang dapat melayani. Oleh itu, orang yang mulia bukan orang yang dimuliakan, tetapi orang yang dapat memuliakan orang lain. Dan orang terhormat bukan orang yang dihormati, tetapi orang yang dapat menghormati.
  • Ketiga, pemimpin yang punya peranan pendidik. Ertinya, pemimpin harus punya visi, selangkah lebih maju. Oleh itu, pemimpin tidak boleh cacat hukum, cacat moral, tetapi juga harus mampu pandang ke depan dan berwawasan kerana dia lebih tahu daripada mereka yang dipimpin.
  • Keempat, pemimpin tentu harus menjadi pelopor atau orang yang mendahului melakukan kebaikan.


Dalam hadis lain yang diriwayatkan oleh al-Tabrani juga disebutkan mengenai hakikat kepemimpinan yang mana permulaan kepemimpinan akan ada saling mencela, kemudian ada penyesalan dan akhirnya seksaan pada hari kiamat. Hadisnya bermaksud: "Jika kamu mahu, akan aku beritahu kepada kamu tentang kepemimpinan (al-imarah), apakah imarah itu? Imarah itu awalnya cela mencela, keduanya penyesalan dan ketiganya azab pada hari kiamat kecuali seseorang yang adil." Latar belakang hadis di atas adalah satu kes yang berlaku pada seorang sahabat Nabi bernama Miqdad. Beliau bercerita bahawa Rasulullah melantiknya menjadi seorang pemimpin untuk melaksanakan satu tugasan. Setelah selesai dan kembali kepada Rasulullah, baginda bertanya kepada Miqdad, bagaimana menurutnya tentang kepemimpinan? Miqdad menjawab dia tidak mengira bahawa semua bawahannya menjadi budak. Kemudian dia bersumpah tidak mahu lagi diangkat menjadi pemimpin untuk selamanya. Maka disabdakanlah hadis di atas. Pengecualian yang Nabi sampaikan pada penghujung hadis yang berbunyi 'kecuali pemimpin yang adil,' nampaknya menjadi sesuatu yang cukup menarik untuk dibincangkan. Sebab apabila pemimpin itu dapat berlaku adil, maka beberapa kemungkinan buruk yang disenaraikan di dalamnya tidak akan terjadi. Bahkan pemimpin yang adil nanti pada hari kiamat termasuk dari tujuh golongan manusia yang akan mendapat perlindungan Allah pada saat tidak ada perlindungan sedikitpun kecuali perlindungan Allah SWT. Contoh keadilan Umar bin Khatab kekal direkodkan sejarah. Pada suatu malam beliau tidak dapat tidur semalaman kerana dilaporkan ada unta yang tergelincir di Iraq. Maka, Umar pun menangis dan mengaku berdosa kepada Tuhannya. "Ya Allah, saya menjadi pemimpin, tapi tak boleh membuat jalan yang elok sehingga ada unta yang tergelincir." Keadilan seorang pemimpin adalah satu berkat yang boleh mensejahterakan orang bawahannya. Dan ia sebagai natijah dari penyerahan kepemimpinan kepada orang yang layak menjadi pemimpin. Seperti sabda baginda dalam nilai norma sejagatnya maksudnya: "Apabila suatu urusan diserahkan kepada orang yang bukan ahlinya maka tunggulah kehancuran." (Hadis riwayat Bukhari) Mafhum mukhalafah daripada hadis ini adalah apabila suatu urusan diserahkan kepada ahlinya maka nikmatilah kedamaian dan ketenteraman. Jika kalangan pemimpin pada zahirnya beranggapan bahawa mereka mesti dilayan oleh orang bawahannya maka angapan ini mesti diulangkaji semula hakikatnya kerana ada sabda Nabi yang bermaksud:
"Pemimpin suatu kaum adalah pelayan mereka." (Hadis riwayat Abu Na'im)

Wallahu a'lam.

No comments: