Monday, June 7, 2010

Perbezaan solat wanita dan lelaki?

Ada sebahagian ulama’ berpendapat bahawa cara melaksanakan solat antara lelaki dan wanita berbeza. Mereka mengemukakan banyak hadith untuk menyokong pendapat itu. Tetapi kesemua hadith itu dha’if dan tidak boleh dijadikan sandaran hujah. Pendapat yang terpilih adalah tidak wujud perbezaan cara solat antara kaum lelaki dengan kaum wanita, sama ada ketika sujud, duduk dan sebagainya. Hal ini berdasarkan keumuman sabda Rasulullah shalallahu-‘alaihi-wasallam yang memerintahan agar setiap kaum muslim (merangkumi kaum lelaki dan kaum wanita) solat seperti mana baginda mengerjakannya. Hadith yang dimaksudkan :

“Solatlah kamu sebagaimana kamu melihat (tata cara) aku solat” (Hadith riwayat al-Bukhari dalam Shahihnya , no: 631)

Dalam pada itu, dalam hadith yang diriwayatkan oleh Ibn Abi Syaibah, Rasulullah shalallahu-‘alaihi-wasallam juga bersabda : “Kau wanita duduk dalam solat sebagaimana duduknya kaum lelaki” (Al-Mushannaf, no: 2788)

Syaikh Nashiruddin al-Albani rahimahullah (1420H) berkata: “Semua hadith yang menyebut tentang sifat solat Nabi menunjukkan solat lelaki dan wanita sama sahaja. Tidak wujud hadis yang menerangkan bahawa wanita dikecualikan daripada sebahagian pergerakan solat itu. Bahkan lafaz hadith yang umum itu merangkumi lelaki dan wanita” (Sifat Solat Nabi, ms. 189)

Selanjutnya, bagi menguatkan pendapat beliau yang menafikan adanya perbezaan tata cara solat antara kaum lelaki dengan kaum wanita, Syaikh Nashiruddin al-Albani rahimahullah juga membawa sebuah riwayat dari al-Bukhari dalam kitabnya, al-Tarikh al-Saghir, muka surat 95 dari ‘Ummu Darda yang berbunyi:

“Sesungguhnya (Ummu Darda) dalam solat, duduk seperti cara duduk lelaki, padahal beliau seorang perempuan yang ahli (pakar) fiqh” (Sifat Solat Nabi, ms. 240)

Selain itu, dalam sebuah hadith yang berbentuk umum juga, Rasulullah shalallahu-‘alaihi-wasallam bersabda: “Kaum wanita adalah saudara kembar bagi kaum lelaki”

Hadith ini diriwayatkan oleh Abu Daud (no:204) dan at-Tirmizi (no:105) daripada Siti Aisyah. Manakala riwayat ad-Darimi (no:764) pula daripada Anas. Al-‘Aljuni rahimahullah berkata: “Ibn al-Qattan berkata bahawa hadith riwayat Aisyah di atas adalah dha’if (lemah), sedangkan riwayat Anas pula sahih” (Kasyfu al-Khafa’, jil. 1, ms. 248)

Al-Khittabi rahimahullah berkata: “Dalam memahami hadith, kebiasaannya apabila terdapat satu perintah yang ditujukan kepada kaum lelaki, ia juga (sebenarnya) merangkum wanita kecuali jika ada dalil khusus kepada kaum wanita. Sebahagian ulama’ berkata wanita tidak boleh duduk seperti lelaki. Hal ini berdasarkan kepada dua hadith dha’if.

Al-Baihaqi rahimahullah berkata: “Dalam masalah ini (yakni larangan kaum wanita menyerupai cara solat kaum lelaki -pent) terdapat dua hadith dha’if dan kedua-duanya tidak boleh dijadikan hujah. Pertama, menurut Atha’ bin al-‘Ajlan, Abu Nadhrah pernah mendengar Abu Sa’id al-Khudri radhiallahu-‘anhu meriwayatkan bahawa sahabat Rasulullah shalallahu-‘alaihi-wasallam berkata:

“Rasulullah shalallahu-‘alaihi-wasallam memerintahkan kaum lelaki supaya merenggangkan anggota tubuh mereka ketika sujud dan baginda memerintahkan kaum wanita merapatkan dan merendahkan tubuh ketika sujud. Baginda juga memerintahkan agar kaum lelaki menyimpuhkan kaki kiri dan menegakkan kaki kanan ketika tahiyat. Sebaliknya, baginda memerintahkan kaum wanita duduk bersilang kaki di bawah paha”

Al-Baihaqi rahimahullah berkata: “Hadith ini Mungkar

Kedua, menurut Abu Muti’ al-Hakam bin Abdullah al-Bakhi, Umar bin Dzar pernah mendengar Mujahid meriwayatkan daripada Abdullah bin Umar bahawa beliau berkata bahawa Rasulullah shalallahu-‘alaihi-wasallam bersabda:

“Apabila seorang wanita duduk dalam solat, kemudian meletakkan pahanya di atas yang sebelahnya. Apabila sujud, dia merapatkan perutnya kepada kedua-dua pahanya seperti lazimnya dia menutup dirinya. Allah berkata: Wahai para malaikat-Ku, saksikanlah, sesungguhnya Aku telah mengampunkan dosa-dosa wanita itu” (Diriwayatkan oleh al-Baihaqi)

Hadith ini dha’if kerana di dalam sanadnya terdapat seorang perawi yang bernama Abu Muti’ al-Bakhi. Ibnu Hajar rahimahullah berkata:

”Ibn Ma’in berkata bahawa hadith ini tidak boleh dikira sebagai hujah. Dalam masa yang lain pula, beliau berkata hadith ini dha’if. Al-Bukhari juga sependapat dengan beliau dan menambah bahawa perawinya merupakan seorang Ahli Ra’yi. Demikian juga komen al-Nasaa’i” (Lisan al-Mizan, jil. 2, ms. 334)

Ketiga, Yazid bin Abu Habib berkata bahawa Rasulullah shalallahu-‘alaihi-wasallam pernah melewati dua orang wanita yang sedang mengerjakan solat. Kemudian baginda bersabda:

“Ketika kamu sujud, rapatkanlah sebahagian anggota ke tanah. Dalam keadaan itu, wanita tidak sama kaum lelaki” (Diriwayatkan oleh Abu Daud dan al-Baihaqi)

Hadith di atas adalah Mursal dan termasuk dalam hadith dha’if. Ibn Abi Syaibah menyebutkan bebrapa atsar daripada sebahagian ulama’ salaf mengenai perbezaan duduk antara lelaki dan wanita. Hujahnya berdasarkan firman Allah dan sabda Rasulullah shalallahu-‘alaihi-wasallam. Kemudian, beliau menyebut daripada sebahagian ulama’ salaf yang lain bahawa cara mengerjakan solat bagi lelaki dna wanita adalam sama. (Al-Mushannaf, jil. 1, ms. 242)

Selain itu, Syaikh Muhammad bin Soleh al-‘Utsaimin rahimahullah juga turut menolak hujah yang membezakan cara solat kaum wanita dengan kaum lelaki. Menurutnya, kenyataan bahawa wanita tidak boleh merenggangkan tubuhnya di dalam solat sebaliknya hendaklah dirapatkan, boleh disanggah dalam beberapa aspek :

i) Alasan yang dikemukakan tidak dapat menolak kekuatan nas yang menyatakan bahawa wanita dan lelaki adalah sama dari segi mengamalkan hukum. Lebih-lebih lagi Rasulullah shalallahu-‘alaihi-wasallam pernah menyuruh semua umat Islam mendirikan solat seperti baginda mendirikannya. Perintah ini berbentuk umum, merangkumi lelaki dan wanita.

ii) Kenyataan di atas boleh dibatalkan ketika seorang wanita mengerjakan solat bersendirian. Wanita dituntut mengerjakan solat bersendirian di rumahnya tanpa kehadiran kaum lelaki. Ketika itu, dia tidak perlu merapatkan tubuhnya kerana tidak dilihat oleh lelaki.

iii) Mereka mengatakan bahawa wanita mesti mengangkat kedua-dua tangan ketika bertakbir. Sedangkan perbuatan itu lebih memalukan berbanding merenggangkan tubuh.

Pendapat yang tepat, wanita boleh melalukan setiap perkara yang dilakukan oleh lelaki dalam solat. Dia mesti mengangkat tangan dan merenggangkan anggota tubuhnya. Dia mesti meluruskan tulang belakang ketika rukuk dan menjauhkan sedikit perut daripada kedua-duabelah pahanya.Begitu juga meninggikan kedua-dua belah paha daripada kedua lutut ketika sujud. Dia juga perlu bersimpuh di atas lantai (tawarruk) ketika tahiyat akhir. (Al-Syarh al-Mumti’, jil. 3, ms. 303-304)

Jika seorang wanita mengerjakan solat di tempat yang boleh disaksikan oleh kaum lelaki (tempat yang terbuka) seperti di Masjid al-Haram atau di tempat awam kerana terdesak, dia hanya perlu menjaga auratnya agar tidak terbuka, bukan merapatkan anggotanya. Al-Imam al-Nawawi rahimahullah dalam kitabnya, al-Majmu’, jil. 3, ms. 455, menyebut wanita berbeza daripada lelaki dalam hal mengerjakan solat hanyalah dalam perkara-perkara berikut :

i) Wanita tidak wajib solat berjemaah di masjid.Berbeza dengan lelaki, dia diperintahkan berjemaah di masjid.

ii) Kedudukan saf imam wanita sama dengan lelaki, iaitu sebaik-baiknya, imam berdiri di tengah antara saf makmum.

iii) Makmum wanita hendaklah berdiri di belakang makmum lelaki, bukannya sama saf dengan lelaki.

iv) Saf paling belakang lebih afdhal daripada saf paling depan apabila wanita mengerjakan solat bersama-sama lelaki.

Demikian secara ringkas penjelasan mengenai persoalan perbezaan cara mengerjakan solat antara kamu wanita dengan kaum lelaki. Apa yang benar, tidak wujud sebarang perbezaan yang ketara antara kedua-duanya melainkan dalam perkara-perkara tertentu sahaja yang sangat terpencil sebagaimana yang telah dijelaskan oleh al-Imam al-Nawawi rahimahullah di atas. Semoga risalah ini dapat memberikan manfaat kepada sidang pembaca, khasnya bagi para muslimah.


wallahutaalaalam

sharif

No comments: